Wednesday, June 29, 2011

Novelog 2 : Kisah Aku Dan Dia - Ep. 23


Firdaus memandang Iman. Lama dia terpaku di situ. Menghayati keindahannya. Hatinya berasa berat untuk balik ke KL tapi sudah terlalu lama di sini. Hampir sebulan. Pasti banyak kerja yang sedang menantinya. Betapa dia sentiasa ingin di sisi gadis itu namun apa daya, Iman bukan miliknya. Dia tidak boleh mengikut kata hatinya yang sentiasa meronta-ronta.
Iman menyedari yang Firdaus sejak dari tadi merenungnya. Lelaki itu tidak berubah. Sejak dulu renungannya mampu mencairkan sesiapa saja. Dia meneruskan kerjanya merumpai di taman mini rumahnya. Hanya itu yang mampu dilakukan untuk meneman Firdaus yang ingin berbicara dengannya.
“Abang jadi balik hari ni?” Dia memula kata setelah membiarkan sepi menguasai pertemuan itu.
“Kalau diikutkan hati abang memang tak mahu balik tapi nak buat macam mana, abang perlu bekerja. Banyak yang perlu abang bereskan kat sana. Kalau boleh abang sentiasa mahu bersama Iman.” Jujur pengakuannya.
Iman membuang pandangannya ke bunga ros Jepun yang merah melata di lantai tamannya. Kata-kata Firdaus menakutkannya. Apakah dia Firdaus sudah lupa yang dia masih lagi dalam edah?
“Iman boleh jaga diri Iman bang. Iman akan jaga kandungan ni baik-baik. Tak perlu abang risaukan. Lagipun mak lang kan ada. Dia boleh bantu kalau Iman ada apa-apa.”
“Baguslah kalau macam tu. Lega hati abang mendengarnya.”
Iman tersenyum dengan keprihatinan Firdaus.
“Abang sebenarnya ada sesuatu nak dicakapkan dengan Iman.” Lelaki itu menyambung kata. Perlahan saja nadanya.
“Sebenarnya abang nak Iman tahu yang abang masih sayangkan Iman walaupun Iman dah kahwin. Abang tetap berharap dapat memiliki Iman satu hari nanti tapi abang tak pernah mendoakan terjadinya perkara sebegini. Setelah kematian Rezal abang rasa abang patut bertanggungjawab terhadap Iman. Abang harap Iman dapat memberi peluang pada untuk membuktikan kasih sayang abang yang tulus.”
Tergamam dia dengan kata-kata Firdaus. Buat masa ini dia tidak ingin berkongsi kasih sayang Rezal dengan Firdaus. Dia hanya dapat menerima Firdaus sebagai seorang sahabat yang boleh menjadi tempatnya bercerita dan meluahkan perasaan. Namun tiba-tiba kalimat yang pernah diucapkan Rezal kepadanya satu ketika dulu menerjah ingatan.
‘Kalaulah ditakdirkan tuhan abang pergi dulu, abang nak Iman bersama semula dengan Firdaus sebagai pengganti abang’.
Fikirannya bercelaru. Dia memohon pada tuhan agar memberinya petunjuk!

*****
Hari-hari yang berlalu terasa begitu indah sekali. Walaupun jauh dari keluarga, kasih sayang tak pernah surut dalam hidupnya. Mak lang sekeluarga, Dahlia dan rakan sepejabatnya banyak memberi sokongan dan dorongan untuknya teruskan hidup. Dan yang paling ketara ialah perhatian yang ditunjukkan oleh Firdaus. Walaupun berada jauh di Kuala Lumpur namun setiap hari dia akan bertelefon. Kalaupun tidak lama, pasti akan ada walau cuma sekadar bertanya khabar.
Entahlah…sukar untuk dia menyelami perasaan Firdaus. Lelaki itu juga tidak segan bertanyakan bayi dalam kandungan seolah itu adalah anaknya. Kadang kala ada juga tersasul dipanggil dengan panggilan baby. Pernah juga dia bahasakan dirinya dengan panggilan papa. Tergelak dia mengenang kembali saat-saat itu. Tapi yang pastinya dia tetap sedih mengenangkan anak itu yang bakal lahir tanpa dapat merasa kasih sayang bapanya yang sebenar.
Hampir dua bulan usia kandungan, perutnya masih belum menunjukkan perubahan. Dia masih boleh memakai baju kurung kegemarannya atau bergaya dengan sut labuh. Masih maintain lagi! Tidak sabar dia mahu mengenakan fesyen baju mengandung. Walaupun masih awal sudah tiga helai koleksi ‘Modern Mum’ berada dalam almarinya. Dia tersenyum sendirian membayangkan keadaannya dengan perut yang memboyot ke hadapan. Tentu kelakar. Dahlia pun tidak habis-habis mengusiknya.
Sedang dia melayan perasaan di taman mininya, Dahlia datang mengunjukkan telefon bimbit. Firdaus katanya, sambil tersenyum simpul.
“Assalamualaikum.” Iman menyapa dahulu.
“Waalaikumussalam. Iman buat apa?  Baby apa khabar?” Banyak betul pertanyaan yang keluar dari bibir Firdaus.
“Iman sihat aje. Bayi pun sihat. Iman dekat taman ni. Saja nak ambil angin petang. Duduk aje dalam rumah pun bosan jugak.”
“Sebenarnya abang tak dapat ke Penang minggu ni sebab abang kena out-station ke Indonesia. Sorry ya.”
“Eh, tak apa. Iman tak kisah. Kerja abang lebih penting.”
“Kalau macam tu abang akan datang selepas abang balik dari sana. Lagipun abang dapat cuti dua hari.”
Firdaus begitu tidak senang tidak dapat menemui Iman. Mereka tidak berjanji pun sebenarnya tapi atas rasa tanggungjawab, dia tetap mencari peluang untuk ke sana.
Lain pula dengan Iman, walaupun dia tidak menghalang Firdaus hendak datang atau tidak, tapi berita yang dibawa oleh lelaki itu kali ini menggembirakannya. Dia suka jika Firdaus melawatnya tapi agak sukar untuk dia menerangkan kepada masyarakat sekeliling. Walaupun dia sudah bergelar janda, dia tidak mahu ada yang membawa mulut mengenainya. Memang dia merasakan kasih sayang Firdaus tapi naluri mudanya tidak perlu diikutkan sangat…

*****

Iman termengah-mengah. Walaupun tidak melakukan kerja berat, namun asyik berulang alik ke Jabatan Pengurusan membuatkan kakinya terasa lenguh. Baru saja dia hendak melepaskan rasa semputnya, Zaryn menjengah ke bilik.
“Iman, boss nak jumpa sekarang.”
Ha…malasnya! Ada apa pulak Mr. Joe nak jumpa aku ni?
Dia sekadar menganggukkan kepala.
Segera dia  bangun dan membalas senyuman Zaryn.
“Masuk!” Mr. Joe menyahut dari dalam bila Iman mengetuk pintu biliknya.
Lelaki yang berumur hampir lima puluh tahun itu tersenyum memandangnya.
“Hai Iman. Sila duduk.”
Iman menurut. Kakinya sudah tidak upaya benar. Matanya melihat saja Mr. Joe menyudahkan kerjanya. Di fikirannya timbul pelbagai persoalan. Mr. Joe jarang memanggil stafnya kecuali jika ada kesalahan yang dilakukan.
“Ada apa Mr. Joe panggil saya?”
“Saya saja nak jumpa dengan kamu Iman.”
Eh dia ni…sempat lagi buat lawak…
Sememangnya itulah sifat Mr. Joe yang disukainya. Mesra dengan sesiapa sahaja.
“Sebenarnya pihak syarikat telah bersetuju untuk transferkan awak ke Kuala Lumpur sempena dengan pembukaan satu lagi cawangan kita di sana.”
Transfer ke KL?
“Kenapa saya yang dipilih? Rasanya ada lagi yang lebih berpengalaman dari saya.”
“Iman, kamu ada potensi untuk terus maju dengan kerjaya kamu. Di sini keadaannya berbeza dengan di sana. Bagi saya peluang untuk kamu lebih terbuka di sana. Dua minggu lagi kamu akan mula bertugas di tempat baru.”
Mahu tak mahu terpaksa dia memaniskan muka dan menganggukkan kepala. Segera dia keluar. Penat otaknya fikir perkara yang dikatakan oleh Mr. Joe tadi. Perkara yang paling malas hendak dia lakukan adalah berpindah. Dahlah banyak barangnya, terpaksa pulak fikir hal-hal lain di tempat baru. Tambahan pula dalam keadaannya seperti sekarang ni… Tapi elok juga, KL dah tak jauh dengan Kota Tinggi. Bolehlah dia balik selalu nanti.
Dengan pantas dia menekan nombor telefon Firdaus. Hanya lelaki itu yang diharap dapat menolongnya.
“Assalamualaikum. Abang dekat mana ni?”
“Abang baru je lepas meeting. Kenapa?”
“Iman ada hal nak minta tolong abang. Iman ditransfer ke KL. Nanti abang tolong Iman pindah barang ya.” Slow je suaranya.
Rasa tak percaya pun ada dengan berita yang didengarnya. Betul ke ni?
Transfer? Boleh. Nanti inform dengan abang ok.”
Mendengar kata-kata Iman, ada sinar gembira di wajah Firdaus. Transfer ke KL bermakna makin dekatlah mereka berdua! Tidak sabar dia menunggu detik itu.
Firdaus terpaksa mengambil cuti kecemasan pada hari Isnin untuk menolong Iman menyelesaikan pemindahannya. Hari Jumaat yang lalu selepas sembahyang Jumaat, dia ke Pulau Pinang dengan GTInya. Ibu bapa Iman turut berada di sana menolong anak gadis mereka mengemaskan barang-barang. Pada mulanya dia agak segan dengan bapa Iman tambahan pula bila mengenang kembali apa yang lelaki itu katakan padanya dulu tapi kerana dia sudah berjanji dengan Iman dan hanya dia yang biasa dengan jalan di KL, hatinya rela. Di KL nanti Iman akan tinggal di Setiawangsa, tidak jauh dari rumahnya di Keramat. Pejabat mereka pun tak jauh.
Pada petang Sabtu barulah siap segalanya. Barang-barang telah dimasukkan ke dalam sebuah lori kecil yang disewa khas. Pada pagi esok mereka akan bertolak ke Kuala Lumpur. Malamnya Firdaus menumpang tidur di rumah mak lang setelah kekenyangan di jamu oleh Iman. Apa lagi kalau bukan nasi berlaukkan asam pedas kegemarannya. Sempat juga mak lang sekeluarga mengusiknya. Hisyam lebih-lebih lagi setelah mengetahui kisah lama dia dan Iman.
Dia teringat kembali apa yang berlaku siang tadi. Bapa Iman tidak banyak bercakap dengannya. Berlainan pula dengan ibunya yang begitu mesra. Berbual itu dan ini dia rasakan seperti sudah kenal lama. Agaknya bapa Iman masih lagi teringatkan perkara lama. Tak apalah. Walau apapun yang orang tua itu fikirkan, yang penting dia tahu bahawasanya dia ikhlas menolong Iman tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Pagi Ahad.
Dalam lingkungan 10 pagi, mereka sudah bersiap dan bersedia untuk bertolak ke KL. Encik Idris duduk di depan sementara Iman dan ibunya selesa di belakang. Lori yang membawa barang-barang mengekorinya. Dalam perjalanan, tidak banyak yang dibualkan. Encik Idris sekadar membuang pandangannya ke luar. Menikmati keindahan kiri kanan jalan yang terbentang di depan mata. Firdaus pula menumpukan perhatian pada kereta yang dipandunya. Sekali sekala sempat juga dia mencuri pandang wajah Iman yang ayu mengenakan overall melalui cermin. Agaknya seri ibu mengandung menampakkan dirinya agak lain dari dulu.
Dua jam memandu, dia membelokkan kereta ke R&R Tanjung Malim. Penat sudah terasa dan perut juga sudah berlagu minta di isi. Hampir sejam berehat di situ, perjalanan diteruskan kembali kerana dia mahu tiba di Kuala Lumpur sebelum malam menjelma. Seperti tadi juga, hanya lagu dari audio yang terpasang mengisi kesunyian suasana. Memandang ke belakang Iman dan ibunya sudah lena. Mungkin akibat keletihan. Cuma Encik Idris saja yang masih menemannya.

6 comments:

  1. Rajinnyer che su menulis aka menaip pjg2 neh^^ saya pasti bace! keep it up!!^____^

    ReplyDelete
  2. kak zie pasir putehJune 29, 2011 at 3:32 PM

    sambung cepat2...best nih...

    ReplyDelete
  3. mrs aidi...kenangan zaman muda2 nih... suka berkhayal

    ReplyDelete
  4. eh...kak zie pun nak koya2 jgk eh dgn cheq sue

    ReplyDelete
  5. - encik idris tu malu la tu kan cheq sue...sbb dulu firdaus keje kilang je dia xmo...

    ReplyDelete
  6. Bijak... bijak...
    Tu yang firdaus pun naik segan

    ReplyDelete

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]