“Abang pergi dua hari je. Lepas tu abang balik sini dan kita balik ke Kota Tinggi. Abang nak bincang dengan keluarga Iman pasal kita. Abang dah tak sanggup nak tunggu lama-lama. Banyak sangat saingan abang.”
Tergelak kecil Iman mendengar kata-kata Firdaus. Apa taknya. Dulu Rezal. Kemudian Nik Fauzan. Lepas tu Idham. Tambah pulak Idham ni musuhnya. Lagilah dia tak sanggup nak tunggu. Dia tak mahu berputih mata melihat burung di sangkar terbang jauh.
“Apa yang kau bebelkan ni Fir? Tak bertolak lagi ke? Nanti lambat sampaai.”
“Jangan risau mama. Setakat nak ke Seremban tu Fir boleh tiba tak sampai dua jam. Tunggulah dulu. Fir belum puas lagi nak bersama Iman.”
“Makcik, Firdaus kata nak ke Kota Tinggi bila dia balik nanti. Makcik izinkan tak?”
“Makcik memang tak nak tunggu lama-lama. Kalau boleh sekarang juga makcik nak kahwinkan kamu berdua.”
“Dengar tu bang.”
Mereka berdua tergelak bahagia.
“Okeylah, Fir pergi dulu. Jangan lupa jaga diri baik-baik. Nanti Fir telefon.”
“Abang bawa kereta baik-baik ya.”
Firdaus tersenyum. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.
Lima minit memandu melalui jalan yang agak bercerun, Firdaus mengesan sesuatu yang lain pada keretanya. Puas dipijak pedal brek tapi kereta tetap bergerak.
Breknya tidak berfungsi!
Dia tidak tahu bagaimana untuk mengawal kelajuan kereta. Semalam dia sudah memeriksa keretanya dan semuanya ok.
Dalam kekalutan itu dia tidak dapat berbuat apa-apa bila sebuah lori cuba memotongnya. Kereta yang hilang kawalan sejak tadi di halakan ke kiri. Malangnya kereta itu bergeser pula dengan bas ekspress yang datang dari kirinya untuk masuk ke line tengah. Dia tidak tahu apa yang hendak dibuat.
Di matanya terbayang wajah mama dan wajah Iman.
Dia terdengar satu dentuman yang kuat.
Ternampak Iman tersenyum padanya.
Terasa kesakitan yang amat di kepalanya.
Ternampak mama tersenyum padanya.
Seluruh tubuhnya bagai berkecai.
Ternampak mama dan Iman sama-sama tersenyum padanya.
Badannya terasa hangat.
Tidak nampak lagi wajah-wajah kesayangannya.
Hangat dengan darah yang mengalir. Dia tidak dapat berfikir apa-apa lagi…matanya terpejam. Ya Allah…
*****
Puan Adibah terkejut mendengar berita yang baru didengarnya. Gagang telefon yang berwarna kuning terlepas dari pegangan. Tubuhnya terasa ringan dan serta merta dia rebah. Iman yang berada di dapur bergegas keluar dan ternampak emak Firdaus terlentang di sisi meja telefon. Segera dia memangku kepala perempaun itu. Gagang telefon yang terbuai-buai dipekapkan ke telinganya.
“Hello…hello…”
Senyap.
Nampaknya talian telah terputus.
Iman kebingungan. Kenapa tiba-tiba je Puan Adibah pengsan? Apa yang berlaku? Siapa yang telefon?
Dengan kudrat yang ada padanya dia mendudukkan Puan Adibah ke kerusi lalu ke dapur mengambil semangkuk air dan sehelai tuala.
“Fir…Fir…”Lemah suara Puan Adibah memanggil nama Firdaus ketika Iman membasahkan mukanya dengan tuala lembap.
“Makcik, kenapa ni?” Iman bertanya perlahan.
“Iman…Firdaus!” Dengan nafas yang tersekat-sekat Puan Adibah bersuara.
“Kenapa dengan Firdaus? Apa yang terjadi? Siapa yang telefon?” Perasaan ingin tahu memuncak dalam hatinya.
“Firdaus kemalangan. Dia di HUKM sekarang.”
Kemalangan?
Bagaikan kaca yang terhempas ke batu, begitulah hatinya. Jawapan Puan Adibah ibarat kaca yang menjadi serpihan yang mampu melukakan sesiapa saja. Dia ingin menangis tapi tak mahu tewas dengan air mata. Cepat hatinya beristighfar pada yang Esa.
“Kita ke hospital sekarang makcik.”
Puan Adibah mengangguk. Iman terpaksa memapahnya ke kereta. Dalam kesedihan yang cuba dikawal, dia berharap agar Firdaus selamat.
“Nurse, boleh saya tahu di mana bilik Firdaus Hakimi?”
“Sekejap ya. Oh…dia masih di bilik kecemasan.”
“Terima kasih ya.”
Pintu bilik kecemasan yang tertutup rapat ditenungnya seolah-olah mahu pintu itu terbuka cepat. Biar dia tahu bagaiman keadaan Firdaus. Puan Adibah masih dengan esakannya hanya duduk di kerusi. Tak daya untuknya terus berdiri.
Hampir sejam menunggu dalam sepi, pintu itu terbuka jua. Dua orang doktor keluar.
“Bagaimana dengan pesakit dalam ni doktor?”
“Dia mengalami hentakan yang kuat di kepala dan mengalami pendarahan dalaman. Kami terpaksa membuat pembedahan untuk membuang darah beku dalam tubuhnya. Puan ni ibunya ke? Harap puan dapat memberi kebenaran untuk pihak kami menyelamatkan nyawanya.”
“Buatlah apa saja doktor asalkan dapat selamatkan dia.”
“Bila kami boleh lihat dia?”
“Buat masa ni tak siapa dibenarkan tengok dia. InsyaAllah selepas pembedahan malam nanti puan boleh melawat dia.”
Iman dan Puan Adibah berpandangan. Air mata emak yang tidak berhenti dari tadi disekanya.
“Sabar makcik. Kita samalah berdoa agar dia selamat.”
Melangkah masuk ke dalam wad yang berbau ubat dan dipenuhi segala peralatan memang menyesakkan nafas dan pandangan Iman. Puan Adibah terbaring di sofa panjang yang diletakkan di penjuru bilik itu. Dia tentunya kepenatan setelah berjaga semalaman. Kesian perempuan itu. Bukannya dia tidak mahu tunggu di sisi Firdaus tapi dia terpaksa ke pejabat. Hari ini dan esok dia mendapat cuti. Dapatlah dia menunggu Firdaus pula. Memberi peluang kepada Puan Adibah untuk merehatkan badan.
“Makcik…bangun makcik. Jom Iman hantar makcik balik. Makcik berehat di rumah dulu biar saya temankan Firdaus.”
Puan Adibah terkejut menerima sentuhan lembut Iman.
“Hah…tak apalah Iman. Biar aje makcik yang jaga dia.”
“Jangan macam ni makcik. Makcik dah terlalu lemah dan perlu berehat. Saya akan temankan Firdaus di sini. Kalau ada apa-apa perkembangan saya akan maklumkan pada makcik nanti. Kita balik ya…”
Terpaksa dia akur dengan pujukan Iman. Memang badannya dah letih benar. Tambahan pula dia mengidap asma. Kesihatannya perlu juga di jaga.
Balik dari menghantar Puan Adibah, Iman kembali semula ke bilik Firdaus.
Lelaki itu nampak tenang di perbaringannya. Tiada luka yang teruk di badan. Cuma calar-calar halus. Ada kesan darah pada balutan di kepala. Di rusuk kanannya ada kesan pembedahan mengeluarkan darah beku tadi. Yang jelas nyata ada kesan-kesan lebam di tubuh, terutama di sekitar dada dan belakangnya. Kesian Firdaus. Sebak dadanya memandang lelaki itu lama-lama.
Iman tidak jemu merenung Firdaus. Sudah sehari di hospital, dia masih belum sedarkan diri. Takut juga Iman memikirkan semua itu. Bimbang jika ada berlaku apa-apa.
Tangan Firdaus digenggamnya. Sejuk.
“Abang…abang kena kuatkan semangat. Abang tak boleh tinggalkan Iman sendirian. Abang dah janji nak jumpa ibu bapa Iman. Abang dah janji nak hidup bersama Iman. Abang…sedarlah!”
Tiada respon.
“Abang…bila abang dah sedar nanti Iman akan masakkan sup untuk Iman. Abang sukakan sup ikan haruan kan? Sup tu dapat menyembuhkan luka abang dengan cepat.”
Iman terus bercakap seorang diri.
“Abang tahu tak…Iman cukup sedih bila abah menghalang perhubungan kita dulu. Iman ingat abang akan mempertahankan cinta kita. Sekarang abang kena buktikan yang abang betul-betul ikhlas pada Iman.”
Iman terus bercerita lagi, dan lagi, dan lagi….bertujuan merangsang pemikiran agar terus berfungsi. Namun Firdaus tetap seperti itu juga, kaku dan bisu.
Ya Allah…selamatkanlah dia!
- alahai cheq sue...nk keluar air mate dah ni...
ReplyDelete@AI
ReplyDeletesabar al...sabar