Puan Jamilah berteleku di sisi Iman. Encik Idris teguh berdiri di sisi isterinya. Amal yang sudah mengalirkan air mata tenang di sisi abahnya.Besan mereka jua berada di situ. Masing-masing mempamerkan riak muka yang sedih. Mengenangkan anak gadis kesayangan yang tak habis-habis diduga tuhan.
Sejak dimasukkan ke wad malam semalam, Iman masih belum sedarkan diri. Dari apa yang Firdaus ceritakan, Iman kehilangan darah yang banyak dan dua pain darahnya berada dalam tubuh Iman. Hanya itu yang mampu dia buat untuk menyelamatkan nyawa gadis yang amat disayanginya itu. Malah dia juga turut terlantar di wad setelah mendermakan darahnya itu. Badannya lemah dan terpaksa berehat di katil hospital. Mama setia di sisi. Kadang-kala mama turut menjenguk Iman dan melaporkan keadaan padanya.
Sedang dia memikirkan bagaimana keadaan Iman yang masih belum dilihat, Encik Idris datang melawatnya.
“Macam mana dengan kamu Firdaus?”
“Saya tak apa-apa pakcik, cuma pening aje sikit. Bagaimana dengan Iman? Dia dah sedar ke?”
“Entahlah Firdaus. Pilu hati pakcik melihatnya. Pakcik berterima kasih pada kau. Kalau kamu takde, tak tahulah apa yang akan terjadi padanya. Terima kasih Firdaus. Hanya tuhan yang mampu membalas segala budi baik kamu.”
“Jangan cakap macam tu pakcik. Saya hanya buat apa yang termampu untuk menyelamatkan dia. Saya nak minta keizinan pakcik untuk melawatnya.”
“Pergilah Firdaus. Mungkin dengan kedatangan kamu memberikan dia lebih semangat dan ketabahan untuk meneruskan hidupnya. Pakcik tak akan menghalang kamu berdua kali ini.”
“Terima kasih pakcik.”
Firdaus mengatur langkah ke wad perempuan. Kepalanya berpusing namun ditahan. Anak lelaki mesti kuat!
Puan Jamilah yang berada dalam bilik itu bersama besannya Puan Sabrina melangkah keluar untuk memberi peluang kepada Firdaus menemui Iman. Firdaus hanya memandang mereka sambil tersenyum.
Bilik itu diresapi dengan wangian lavendar. Barangkali ibunya yang memasang aromaterapi kegemaran Iman untuk merangsang sistem tubuhnya. Bauan itu bagaimana pun tidak mampu menenangkan fikirannya. Merenung Iman yang lena, terdetik perlbagai perasaan di hatinya. Wajahnya kepucatan. Hilang serinya. Hilang keindahannya. Pun begitu tidak hilang kasih sayangnya pada gadis itu.
Firdaus duduk di kerusi di sebelah kanan katil Iman. Tangan gadis itu digenggam. Sejuk. Dikucupnya lembut.
Iman kena tabah menghadapi semua ni. Syukur pada tuhan kerana memilih Iman untuk diuji. Sesungguhnya ada yang terlindung disebalik apa yang telah Dia suratkan padamu Iman. Abang akan sentiasa bersama Iman tak kira susah atau senang.
Hampir setengah jam berdiam diri, hanya merenung wajah itu tanpa jemu, akhirnya sepasang mata bening terbuka jua. Lega rasanya. Iman mengedipkan matanya yang terasa pedih. Badannya terasa lemah. Kesakitan masih terasa di bahagian ari-arinya. Dia melihat ke kanan dan matanya memandang Firdaus. Dia cuba untuk menarik tangannya yang digenggam tapi Firdaus tidak mahu melepaskannya. Mindanya segera memutarkan apa yang telah terjadi. Tak ingat! Dia meraba perutnya. Terasa lain. Kenapa?
“Abang…bagaimana dengan baby Iman?” Soalan yang ditanya seperti yang dijangka.
Bagaimana hendak Firdaus menjawab soalan itu kerana ianya pasti menagih air mata Iman.
“Abang…bagaimana dengan baby? Apa yang terjadi pada Iman? Abang…tolonglah cakap…” Iman merayunya. Dia mengulang soalan yang sama berulang kali. Di matanya sudah bergenang air. Hanya menunggu masa untuk gugur…mengalir di pipi. Sebak dadanya melihat keadaan itu.
“Iman…bertenang. Jangan macam ni. Iman kan seorang yang tabah.”
“Kenapa dengan Iman?”
Sesunguhnya dia tidak dapat mengingat apa yang telah terjadi padanya.
“Doktor tidak dapat menyelamatkan kandungan Iman. Iman keguguran. Abang harap Iman tabah menghadapi semua ini.”
Keguguran?
Baby…
Rezal…
Air mata yang diempang tidak mampu lagi di tahan. Dia tidak menyangka dia tidak dapat mempertahankan apa yang Rezal tinggalkan untuknya. Hanya tiga bulan lebih dia dapat merasai kelainan perasaan mengandungkan bayinya. Dia sedih kerana bukti cintanya dan hasil perkahwinannya jua sudah diambil tuhan. Sebagai insan kerdil tidak mampu untuk dia menghadapi semua ini sendirian. Dia kehilangan Rezal tapi kedukaan itu digantikan dengan wujudnya benih kasih mereka dalam rahimnya. Tapi apabila semua itu diambil darinya, pada siapakah dia hendak mencurah rasa? Hendak bercerita? Tiba-tiba dia terasa tuhan tidak pernah berlaku adil padanya!
Hati lelaki Firdaus semakin belas melihat Iman yang sedang teresak-esak. Dia tahu perderitaan yang ditanggung tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Sabar Iman. Sabar. Nak buat macam mana. Dah bukan rezeki Iman.” Firdaus cuba memujuk.
“Abang…Iman sedih.” Tanpa disedari dia memeluk lelaki disebelahnya. Buat masa ini dia benar-benar perlukan kekuatan. Dia benar-benar sengsara dengan apa yang meninpa dirinya.
Firdaus hilang arah. Dia tewas dengan tangisan Iman. Bahu Iman yang dipeluknya diusap lembut. Dibiarkan perempuan itu menangis semahunya.
Abang tetap bersama Iman.
*****
Iman tidak menghiraukan tetamu yang datang ingin bertanyakan khabarnya. Dia hanya duduk dalam biliknya. Damai angin Kota Tinggi tak mampu menenangkan jiwanya. Baru sekejap tadi dia balik dari Muar, setelah janinnya selamat dikuburkan bersebelahan dengan kubur arwah Rezal. Dia tidak mahu tunggu lebih lama di sana walaupun mama dan papa beria-ia menyuruhnya berehat di situ dulu. Terlalu banyak kenangan yang menerjah ingatannya.
Di matanya masih terbayang-bayang janin lelaki yang baru hendak terbentuk itu. Dia dan arwah Rezal sebetulnya sudah menyediakan nama untuk anak-anak mereka yang bakal lahir. Sewaktu di Bali dulu mereka sudah berjanji untuk menamakan anak sulung mereka dengan nama Najhan Rushdan jika lelaki dan nama Najjah Raihana jika perempuan. Namun tuhan lebih menyayangi anak itu. Nama Najhan Rushdan akan tetap dalam ingatannya!
Dairi di atas meja solek diambilnya. Sudah lama dia tidak meluahkan perasaannya dalam buku berwarna biru lembut itu. Seketika dia termenung. Dalam usianya yang baru hendak menjangkau 24 tahun, sudah terlalu banyak pengalaman yang mematangkannya. Di dahului dengan dia belajar di UPM. Selepas tamat belajar, sempat pula bekerja di kilang yang menemukan dia dengan Firdaus selepas dia habis belajar dan mereka sama menyemai cinta. Atas halangan abahnya, di disatukan dengan Rezal tapi baru saja hendak bahagia, tuhan menarik nikmat itu. Dia dipertemukan kembali dengan Firdaus dalam keadaan yang amat berlainan. Bersama lelaki itu dia banyak berhutang budi. Dan bersama lelaki itu jua dia memempuhi penderitaan ini. Dia tahu setakat mana kasih Firdaus padanya. Sebab itulah dia tidak begitu terkejut ketika abah memberitahunya bahawa darah Firdaus kini mengalir dalam tubuhnya. Dan dia juga tahu kasihnya pada Firdaus masih tersisa. Hanya tersimpan dilubuk hati setelah dia memutuskan untuk menerima Rezal sebagai suaminya. Tapi kini kasih itu bagaikan terselak kembali…rela untuk menebarkan sayangnya ke seluruh maya ini…
Mengenangkan semua itu, air mata terasa begitu murah harganya…
Segala barangan yang dibawa sudah siap dikemas. InsyaAllah sekejap lagi dia akan mula bertolak ke Kuala Lumpur. Dua hari di Kota Tinggi, dia tidak sedap hati untuk berada di situ lebih lama bimbang menjadi buah mulut orang kampung. Mama yang pergi bersamanya setuju dengan pendapat itu. Biarlah Iman bersama-sama dengan familinya sebelum balik semula ke KL untuk menyambung kerjanya. Lagipun dia tidak ingin membangkitkan kenangan lama jika terus berada di situ.
Iman sekeluarga menghantar dia dan mama hingga ke kereta. Lemah langkah Iman melemahkan semangatnya. Dia ingin melihat Imannya yang dulu.
“Abang balik dulu. Iman jaga diri baik-baik. Jangan terlalu ikutkan perasaan. Ok.”
“Abang baik-baik bawa kereta. Iman doakan abang selamat sampai di sana. Makcik, maafkan Iman jika tak dapat melayan makcik dengan baik sepanjang makcik di sini.”
“Makcik faham Iman. Yang penting kamu tu, jaga kesihatan baik-baik. Yang dah lepas tu jangan di kenang lagi.”
“InsyaAllah. Kasih sayang semua orang akan memulihkan Iman.”
Firdaus mencapai tangan Iman dan mengucupnya tanda kasih. Selepas itu dengan hati yang berat dia masuk ke kereta. Tak lama kemudian GTI silver berplat KL itu mula bergerak dan akhirnya hilang dari pandangan mata.
- lagi cepat firdaus bole kawen dgn iman, xyah tunggu sampai melahirkan anak...hehe
ReplyDeleteheee.....mesti tak sabar nak tunggu firdaus kawen...dah lame sgt dia tunggu iman kan..
ReplyDelete