Wednesday, July 6, 2011

Novelog 2 : Kisah Aku Dan Dia - Ep. 26


“Ibu, Iman nak balik ke KL.”
“Nak balik ke KL? Iman berehatlah dulu di sini. Iman kan tak sembuh sepenuhnya lagi.”
“Ibu…Iman tak boleh duduk saja macam ni. Tak buat apa-apa, makin banyak yang Iman fikirkan. Biarlah Iman balik ke sana. Lagipun banyak kerja yang Iman perlu buat. Cawangan yang baru dibuka di sana perlu diuruskan segera. Ibu jangan risau, Iman akan jaga diri baik-baik.” Dia cuba sedaya upaya menerangkan pada ibunya.
“Apa yang dibualkan dua beranak ni?”
“Abang! Ni ha, Iman. Katanya nak balik ke KL.” Ibu memberitahu abahnya, mengharapkan suaminya itu menyebelahinya.
“Baguslah macam tu. Duduk di sini pun bukannya ada apa yang boleh dibuatnya.” Abah, sentiasa menyokongnya.
“Abang ni tak pernah nak faham. Saya ni bimbang dia tu sendirian kat sana. Susah senangnya sapa yang nak tolong?”
“Dia pandailah uruskan hidupnya sendiri. Dia dah dewasa.”
“Terima kasih abah. Ibu, Iman bukannya nak membelakangkan ibu tapi berilah peluang kepada Iman untuk membina hidup baru. Iman tak boleh hidup dalam kenangan.”
Puan Jamilah hanya mampu mengangguk. Dia memeluk erat tubuh langsing Iman. Sayang sungguh dia dengan anaknya itu!
*****
Hari baru di Kuala Lumpur!
Iman menyiapkan dirinya. Tudung dikepala di semat elok-elok. Mekap tipis disudahkan. Hari ini dia sudah brsedia untuk memulakan kerjanya ditempat baru dengan perasaan yang baru. Dengan azam dan keyakinan yang baru. Segala-galanya baru. Baju dan tudungnya pun baru dibeli semalam.
Sampai di pejabat 15 minit sebelum pukul sembilan. Dia diperkenalkan dengan  boss barunya dan eksekutif-eksekutif yang lain. Mereka tidak mengetahui apa yang terjadi padanya. Hanya boss yang tahu, dan dia sudah berjanji untuk merahsiakan perkara itu. Masing-masing menganggap kelewatan dia lapor diri adalah disebabkan oleh urusan yang perlu diselesaikan di Pulau Pinang.
Dia ditempatkan dalam satu bilik yang disediakan khas untuknya, bersebelahan dengan bilik Jannatun yang bertugas sebagai setiausaha bossnya. Gadis dari Negeri Sembilan itu sangat peramah dan becok mulutnya.
Emm…elok juga lokasi pejabat ni. Dekat dengan pusat bandar…malah KLCC dan KL Tower boleh dilihat dengan jelas dari tingkap opisnya. Sekurang-kurangnya adalah yang hendak dipandang jika tension dengan kerja.
Hari pertama, tidak banyak yang hendak dilakukan. Dia hanya meneliti fail-fail yang diberikan oleh Jannatun dan rekod staf dari jabatan pengambilan. 
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Idham, penolong pengarah 1 menunjukkan diri.
“Cik Iman. Jom kita pergi makan. Dah lunch hour ni. Tak lapar ke?”
“Belum En. Idham. Lagipun saya dah berjanji hendak makan dengan kawan saya hari ni. Dia akan jemput saya nanti. Sorry ya.”
It’s okay. I tak tahu pula yang you dah ada teman. Kalau macam tu I  keluar dululah.”
Iman mengangguk. Nak buat macam mana. Bukannya dia tidak sudi tapi Firdaus terlebih dahulu membuat temu janji dengannya. Tak sanggup ditolak ajakan lelaki itu. Lagipun ada perkara yang hendak mereka bincangkan empat mata…dari hati ke hati!
*****
Iman dan Firdaus baru saja keluar dari KLCC ketika terdengar ada suara yang memanggil namanya. Terkejut juga dia. Siapa yang mengenalinya? Berpaling ke belakang, terlihat Jannatun di sisi seorang lelaki. Berkulit hitam manis dan tegap orangnya. Pakwe dia agaknya.
“Kau Atun! Aku ingatkan sapa tadi.”
“Yalah. Macam mana nak perasan. Cik abang ada di sebelah. Mesti tak pandang kiri kanan punya. Ni aku kenalkan tunang aku Haiqal.”
“Ni Firdaus.”
Kedua lelaki itu bersalaman. Tak tahu pulak dia yang Jannatun tu dah bertunang. Nampaknya tak lama lagi dapat merasa nasi minyaklah mereka semua.
“Bila nak langsungnya ni?” Firdaus menyoal Haiqal. Agak mesra dia dengan lelaki itu.
“InsyaAllah kalau tak ada apa aral awal tahun depan. Jemputlah datang nanti.”
“Dah tak lama. Tak sabar aku nak merasa nasi minyak kau Atun!”
“Kau bila pulak?” Soalan cepu mas ditanyanya pada Iman.
Matanya melirik ke arah Firdaus. Selama ni dia hanya tahu nama saja. Sekarang dia sudah bersua muka dengan orangnya. Kacak.
Iman dan Firdaus saling berpandangan. Mereka mengangkat kening dan tersenyum.
“Entah!” Jawab Iman dengan niat hendak mempermainkan Jannatun.
“Aku ni Atun, kalau Iman bagi green light, esok jugak aku masuk pinang dia.”
Tersentak dia mendengar jawapan Firdaus.
Seriuskah dia dengan kata-katanya itu?
*****
Masuk ke pejabat pagi ni, hatinya dilanda hairan. Kenapa semua orang memandangnya semacam. Tersenyum padanya. Dia membalas mesra seperti hari-hari yang lain juga. Dia melihat sut beige yang dipakainya takut ada yang tidak kena. Tak ada pulak. Semuanya sempurna.
Tiada jawapan terhadap rasa hairannya.
Jannatun lebih-lebih lagi. Sengaja je dia kuatkan suara bila menanyakan soalan ini di hadapan staf yang lain.
“Pagi hari ni Cik Iman. En. Firdaus yang hantar ke?”
Sakit hati betul budak Jannatun ni. Saje je tu nak mengenakan orang. Peristiwa di KLCC minggu lalu agaknya modal gadis itu kali ini. Sekarang dia sudah tahu apa sebab stafnya asyik sangat memandangnya hari ini…
“Atun, masuk bilik saya sekejap.”
Ada yang nak kena lecture ni…
“Duduk.”
Iman memandang Jannatun yang mengenakan baju kurung Kedah hari ni. Wajah ayu yang bertudung sepadan dengan baju tersenyum simpul padanya.
“Apa yang dah awak sebarkan tentang saya?”
“Sebarkan apa pulak Cik Iman? Saya hanya cakap yang betul sahaja.”
“Apa yang betulnya. Apa yang awak tahu?”
“Saya nampak En. Firdaus begitu sayang dan ikhlas pada Cik Iman. Memang betul semua tu cuma Cik Iman yang tak mahu memberi peluang pada dia dan diri Cik Iman untuk mengecap bahagia. Saya tahu apa yang telah Cik Iman alami dan saya bersimpati. Tapi saya tahu Cik Iman takut untuk memulakannya. Cik Iman takut jika pisang berbuah dua kali. Cik Iman, orang yang tidak pernah merasai pahitnya hempedu tidak akan tahu bagaimana rasa pahit hempedu itu.”
Terpempan Iman mendengar hujah panjang lebar Jannatun. Pandai pulak budak ni bercakap.
“Atun, dah banyak yang saya alami. Penderitaan dengan saya tak dapat dipisahkan. Bagaimana saya tak takut?”
“Tapi Cik Iman kena percaya pada qada’ dan qadar tuhan. Disebalik penderitaan yang diberikan pada Cik Iman, saya percaya ada kebahagiaan abadi yang akan diutuskan.”
Tenang hatinya mendengar ucapan tulus Jannatun. Tabahnya dia tidak dapat menandingi kekentalan hati Jannatun padahal gadis itu baru berusia 22 tahun.
Iman memeluk Jannatun untuk mendapatkan kekuatan. Dia mengakui segala kebenaran kata-kata Jannatun. Dalam pada itu, fikirannya melayang pada Firdaus. Kenangan lama mereka terbayang-bayang di ruang mata…

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]